Wednesday 28 May 2014

KAHWIN DENGAN ROOMMATE?! BAB 18



Irish memandang lama akhbar di hadapan matanya. Satu persatu air matanya gugur. Dia sudah menjangka penerimaan Ilham terhadapnya. Sepatutnya dia tidak terlajak menghamparkan rasa kasih dan sayangnya buat lelaki bernama Ilham Aizat itu. Tindakan Ilham yang mengadakan press conference dengan kenyataan yang baru saja dibacanya itu seolah-olah memberi tanda bahawa hubungan mereka sudah tidak lama. Ibarat telur di hujung tanduk, ibarat retak menanti belah menunggu masa untuk punah. 

Lagu Terlalu Mencintaimu nyanyian Suki kedengaran di corong radio. Seolah-olah tepat dengan perasaan pilu yang dirasai Irish sekarang. 

Zulin menutup radio yang sedang memutarkan lagu tersebut. Boleh pula waktu macam ni, kena tepat dengan apa yang Irish rasa. Lagi melelehlah air mata rakan baiknya itu. Zulin mengambil tempat di sebelah Irish. Memberi sedikit kekuatan buat sahabatnya. Tak sanggup rasa hatinya melihat Irish berduka walang sedemikian rupa.

“Sabarlah Irish. Aku tahu dia ada alasan tersendiri. Dia takkan buat macam tu sesuka hati. Aku yakin Rish,” ujar Zulin sambil mengusap-ngusap lembut bahu Irish. Dia tahu Irish sedih dengan kenyataan Ilham yang mendapat liputan hangat dalam dunia hiburan masa kini.

“Perempuan itu tiada kena mengena dengan saya. Dia hanya peminat yang saya selamatkan dari terjatuh. Itu saja.”
Ilham Aizat

“Aku tahu Zulin. Memang aku ni bukanlah sesiapa pun bagi dia. Perkahwinan kami pun atas terpaksa. Disebabkan tindakan bodoh aku dulu. Sepatutnya aku dah boleh mengagak kenyataan itu yang akan dikeluarkannya. Tapi, entahlah Zulin, aku tak tahu kenapa hati aku ni sedih sangat bila baca kenyataan tu,” esak tangis Irish semakin kuat kedengaran.

“Memang masa awal perkahwinan lagi aku tahu aku ni menjadi beban buat dia. Sebab tu lah aku tinggalkan bumi Malaysia ni. Biar dia ada ruangnya sendiri. Aku tak nak perkahwinan kami menjadi penghalang buatnya. Aku tahu dia masih muda waktu tu. Cuma bila aku dah balik semua ke sini, aku takut nak terima kenyataan. Aku takut berhadapan dengan penceraian. Aku tak sanggup. Sumpah aku tak mahu!” Irish kembali bersuara dalam esak tangis yang semakin lebat.

Zulin terdiam. Memberi ruang rakan baiknya meluah perasaan.

“Irish, kau tinggalkan dia macam tu. Kau tahu ke apa perasaan dia pada kau? Kau pernah berbincang dengan dia sejak kau orang kahwin?”

“Memang aku tak ada bincang dengan dia. Tapi aku dapat rasakan siapa aku di matanya. Aku dapat lihat dari muka dia. Sebab tu dia minta kami rahsiakan perkahwinan ni.”

“Macam aku cakap tadi, mungkin dia ada sebab tersendiri buat macam ni. Silap besar sebab kau tak bincang dengan dia. Irish, baik kau terus terang dengan aku. Kau cintakan Ilham kan? Kau memang cintakan dia dari dulu lagi kan?” 

Irish bungkam. Dia tidak tahu jawapan apa yang sesuai untuk soalan yang diajukan Zulin. Cintakah dia kepada Ilham? Jika sayang memang betul. Cuma jika disebut cinta, adakah benar itu yang dia rasa? Jika dia tidak mencintai Ilham, kenapa hatinya begitu sakit membaca kenyataan Ilham itu? Dia sendiri tidak tahu menyatakan rasa apa yang bertandang di hatinya sekarang. Argh! Dia penasaran.

“Irish, kau dengar tak apa aku cakap? Kau tahu kan kau boleh cerita apa-apa pun dengan aku.”

Irish kembali ke dunia nyata setelah lama berfikir tadi.

“Aku..Aku tak tahu nak cakap macam mana tentang hati aku ni Zulin. Aku tak rasa aku cintakan dia.”

“Kalau macam tu. Kenapa kau betul-betul frust menonggeng ni?” Seloroh Zulin. Boleh pula dia guna istilah tu waktu-waktu macam ni.

“Aku...Entah lah Zulin. Aku bingung,” Irish ternyata keliru dengan apa yang dirasainya sekarang.

So, apa kau nak buat sekarang?”

“Aku..Aku tak tahu. Zulin! Aku rasa nak lari sekarang juga,” ujar Irish dalam esak tangisnya yang kembali menerpa. Bila teringatkan Ilham hatinya pasti bergetar hebat. Tidak tahu mengapa itu berlaku kepadanya.

“Kau jangan nak buat kerja gila lagi. Kau kena tunjukkan kematangan kau. Kau lebih tua dari Ilham tau. Wake up dear! You must be strong!”

“Habis tu, cuba kau beritahu aku, apa yang perlu aku buat? Aku tak nak lagi terkapai-kapai macam ni Zulin.”

“Kau menyamar lah. Kau kan suka buat benda-benda macam tu,” Zulin berjenaka. Saja mahu mengusik rakannya agar tidak terlalu bersedih.

“Kau ni, sempat lagi nak buat lawak bodoh kan. Jangan lah sebut fasal menyamar lagi. Kau buat aku teringat waktu dulu lah,” tangisan Irish semakin lebat. Lawak Zulin tidak menjadi.

Zulin yang melihat rakannya itu menangis, mulalah menggelabah. Nak buat lawak tak kena waktu. Kan dah melalak budak tu. Zulin kini diam memerhati. Dia ternyata begitu simpati dengan nasib rakan baiknya ini. Hati Irish bagai disiat teruk bila membaca kenyataan itu. Meskipun dia tahu yang Irish menafikan perasaan terhadap Ilham, dia pasti cinta Irish memang untuk Ilham. Zulin membiarkan Irish menangis semahu-mahunya di sisi. Biarlah Irish menangis, kerana tangisan itu merupakan terapi terbaik untuk diri sahabat baiknya itu.




Ilham memandu kereta Nissan Fairlady 370z miliknya ke KidZania Kuala Lumpur. Hari ini seperti yang dijanjikan, dia terlibat dengan rakaman iklan di KidZania. Seperti biasa Ilham tampil dengan gayanya yang menarik. Berkameja slim fit berjalur hitam putih sememangnya menarik perhatian sesiapa saja yang memerhati. Turun saja dari kereta, Ilham Aizat mencuri tumpuan manusia yang ada.

“Ilham Aizat , you datang tepat pada masanya,” sapa Dahlia. Gembira hatinya melihat Ilham Aizat datang awal di lokasi. Penuh disiplin artis muda ini. Memang betullah apa yang digembar-gemburkan oleh wartawan tentang sikap Ilham yang satu ni.

“Eh, I ingatkan I yang terlambat tadi,” Ilham melimpahkan senyum kepada Dahlia. Dahlia terkesima.

“Eh, tak ada lah. You duduk sini dulu, kejap lagi krew I datang okay?” Dahlia berlalu pergi untuk memanggil krew-krew yang lain.”

“Cik Dahlia kejap,” panggil Ilham ke arah Dahlia.

Dahlia yang sedang menuju ke arah krewnya menoleh ke arah Ilham.

“Ya, kenapa? Ada apa-apa yang you nak ke?”

“Irish ada datang sini tak?” Soal Ilham. Memang dari tadi matanya melilau mencari kelibat Irish. Namun tetap tidak jumpa. Apa agaknya penerimaan Irish terhadap kenyataannya tempoh hari?

“Oh, dah agak dah you nak tanya fasal Irish. Ada, tapi tak datang lagi. Kejap lagi datang lah kot,” jawab Dahlia ringkas lantas berlalu pergi ke arah krewnya semula. Dia harus memastikan bahawa setiap krew yang ada harus bersiap siaga menepati segala kriteria yang telah digariskan.

Ilham terus ke ruang persalinan untuk menukar pakaiannya. Dari jauh dia melihat dua orang model kanak-kanak lelaki dan perempuan itu sedang riang bergelak ketawa. Mindanya tiba-tiba saja membayangkan wajah anaknya nanti bagaimana rupanya. Pasti secomel itu, atau mungkin lebih comel lagi. Bibirnya menguntum senyum.

“Ilham? Are you ready?”

Sapaan Dahlia mengembalikan semula dirinya dari angan-angannya. Tak sangka pula sampai ke situ dia mengelamun. Dia hanya mengangguk dan mula mendekati kedua-dua orang kanak-kanak yang comel itu.

“Hai adik comel. Siapa nama?” Sapa Ilham sambil menundukkan wajahnya separas dengan ketinggian kanak-kanak itu.

“Syaza,” jawab kanak-kanak perempuan dalam lingkungan 10 tahun itu sambil tersenyum simpul memandang Ilham. Amboi, kecil-kecil dah pandai nak main senyum-senyum macam tu.

“Yang lelaki ni pula apa? Syazi?” Ilham bergurau manja dengan kanak-kanak itu. Bukan main gelak lagi mereka.

“Bukanlah bang. Nama saya Mohamad Ikram Afif Daniel bin Ahmad Tarmizi,” jawab kanak-kanak lelaki itu dengan nama penuhnya. Lagak seperti seorang murid yang menjawab pertanyaan gurunya. Umurnya pasti sebaya dengan Syaza, teka Ilham sendiri.

Kanak-kanak itu begitu teruja melihat Ilham Aizat berada di depan mata mereka. Memang peminat Ilham terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan masyarakat, tak kiralah tua atau  pun muda. Kanak-kanak ni pula, apa lagi. Siap nak minta ambil gambar guna telefon bimbit masing-masing. Budak-budak sekarang memang semakin canggih. Baru umur 10 tahun, telefon I Phone pun mereka dah mahir. Bukan seperti zaman dulu. Moga-moga kanak-kanak ini tidak lalai dan bijak memanfaatkan kemudahan yang ada, desis hati Ilham.

“Apa?! Hani tak jadi datang? Kenapa dia cancel last minute macam ni? Siapa nak ganti dia?” jerit Dahlia. Dari jauh suaranya yang sudah mulai berang didengari Ilham. 

“Dah lah bukan senang nak deal dengan model, tempat shooting lagi, boleh pula Hani cancel saat-saat akhir macam ni,” sambung Dahlia. Entah apa dia nak jawab dengan director. Dah lah lama krew-krew ini menunggu.

“Dia kata perut dia memulas-mulas Cik Dahlia. Saya pun tak tahu,” tergagap-gagap krew tu memberitahu kepada Dahlia. Dia pun geram dengan perangai Hani. Melampau sangat.

So, macam mana Dahlia. Hani tak jadi datang ni? Siapa nak ganti dia? Model lain sempat ke nak datang sini? I pun tak boleh lama ni,” Mr. Zaki Som sudah mula bersuara. Dia pun pantang kalau ada orang cancel pada saat-saat akhir macam ni.

Ilham hanya mendengar. Dia juga berfikir siapa model yang dikenalinya yang sesuai untuk menggantikan tempat Hani. Memang Hani ni bajet diva. Menyusahkan orang betul.

Mereka sama-sama diam untuk berfikir model yang sesuai dengan iklan yang akan dirakam sebentar lagi.

“Ha, I rasa dia sesuai. Boleh lah ni,” kata Mr. Zaki Som. Dahlia dan Ilham pantas menoleh. Terkejut mereka dengan orang yang dimaksudkan. 

“Irish?”

“Err..kenapa semua orang pandang aku macam tu?” Desis Irish sendirian. Tanpa semena-mena tangannya ditarik oleh Dahlia.



Begitu gigih Dahlia dan Mr. Zaki Som memujuk Irish agar menjadi model bidan terjun pada waktu genting macam ni. Irish pula memang seboleh-bolehnya tak nak. Manalah dia tahu selok belok jadi model, tak fasal-fasal jadi lain pula. Si Dahlia dan Mr. Zaki Som pula bukan main lagi puji mukanya cantik lah, sesuai jadi model lah, putih mengalahkan Mahsuri lah, geram betul dia. Part Mahsuri tu memang melampau sangat. Saja lah tu.

Akhirnya setelah dipujuk dan memikirkan hal kelancaran produk rekaannya, dia terpaksa akur dengan pujukan mereka berdua. Dia bukannya tak nak jadi model, tapi bila mengenangkan yang dia kena bergandingan dengan Ilham, tu yang buatkan dia tidak mahu. Sudahlah lah iklan ni menggunakan konsep Happy Family, dengan pegang tangan budak bagai, memang dia kekok. Tapi, dah terpaksa kan, terima lah juga. Ingat! Terpaksa! Bukan sengaja!

Konsep iklan kali ni cukup mudah. Mereka hanya perlu berpimpinan tangan di dalam KidZania dan membawa kanak-kanak itu bergembira di dalam KidZania. Selepas itu, barulah Set Mainan Cita-Cita yang didatangkan khas dalam kotak yang besar dan lengkap dengan pelbagai alatan dikeluarkan. Membuatkan kanak-kanak teruja untuk mencuba. 

Irish memulakan tugasnya. Sememangnya dia rasa sangat kekok bila bergandingan dengan Ilham saat dan waktu macam ni. Lebih-lebih lagi dengan situasi sedemikian rupa. Dah lah rasa sedihnya dengan kenyataan Ilham tempoh hari masih lagi berbekas di dalam hati, ditambah pula dengan adegan seolah-olah mereka ini suami isteri. Lagilah dia rasa kekok tidak bertepi. Eh, tapi dalam realiti memang Ilham ni suami dia pun kan?

“Irish, awak kena lebih bersahaja. Anggap saja yang Ilham tu suami awak, dan budak berdua tu anak awak okay? Boleh? Saya nak kan awak menjiwai perasaan itu,” arah Mr. Zaki Som. Dia mahukan penonton rasa apa yang sedang berlaku dalam iklan itu. Biarpun hanya sekadar iklan.

“Tak payah nak anggap aku ni suami kau. Memang aku ni betul-betul suami kau yang sah!” Ilham berbisik di telinga Irish. Perkataan betul-betul dan sah itu ditekankannya.

“Saya bukannya ada kena mengena dengan awak kan? Saya ni kan peminat awak jer. Ooops, atau mungkin bekas peminat,” Irish memulangkan paku buah keras terhada kenyataan akhbar yang pernah dibuat Ilham.

Ilham terdiam. 

Irish meneruskan tugasnya. Tidak mahu dia melayan Ilham pada hari ni. Apa yang dia tahu, dia harus menjalankan tugasnya dengan sebaik mungkin. Itu sahaja. Tiba-tiba rasa menyesal bertandang di dalam dada kerana datang ke sini pada hari ini. 

“Okay, ready for take. 1..2..3.. Action!”

Ilham dan Irish membawa watak yang diberi dengan sehabis daya. Tampak secocok dan sepadan Dahlia serta krew yang lain melihatnya. Masing-masing sudah tersenyum. Ada juga yang berbisik-bisik tentang wajah Irish iras-iras dengan wanita yang diselamatkan Ilham seperti yang dikhabarkan dalam akhbar baru-baru ini.

“Okay. Good job everyone! Irish, you look so gorgeous tadi. Sorry kalau I ada marah-marah you. I Just jalankan tanggungjawab sebagai director,” puji Mr. Zaki Som sambil meletakkan tangannya di bahu Irish. Lama! Irish dihurung rimas.

“Kenapa lah orang tua ganyut ni nak main pegang-pegang bahu. Sekali aku takik kepala dia, baru dia tahu,” desis Irish sambil menjarakkan dirinya dari Mr. Zaki Som. Tidak selesa dia diperlakukan sedemikian rupa. 

Bagi Ilham pula, terasa kelakiannya dicabar hebat bila melihat Mr. Zaki Som ni suka-suka hati memegang bahu isterinya dengan agak lama.

Thanks Mr. Zaki Som,” Irish hanya tersenyum sambil membuka langkah untuk berlalu.

Pap!

Tiba-tiba dia merasakan punggungnya disentuh oleh seseorang. Pantas dia menoleh.

Ilham yang perasan akan hal itu sudah rasa tidak puas hati. Boleh pula Mr. Zaki Som ni menggatal dengan isterinya sesuka hati. Dia sendiri tidak pernah berbuat demikian, inikan pula orang lain yang tidak ada hubungan langsung dengan Irish. Ini yang membuatkan dia terasa dayus ni. Kali ni Ilham mara. Tangan dikepalkan untuk mengeluarkan segala jurus silat yang dipelajarinya untuk melindungi Irish Adrina. Pantas Ilham meluru ke arah lelaki itu. Tapi, belum sempat dia buat apa-apa, dia melihat Mr. Zaki Som sudah jatuh terduduk sambil menjerit kesakitan.

“Argh!!!!!!” Jerit Mr. Zaki Som. Semua mata tertumpu ke arahnya.

“Padan muka kau! Dasar tua miang. Kau ingat aku senang-senang kau nak buat main. Silap besar lah!” Irish terus berlalu pergi. Puas hati dia dapat keluarkan tendangan padu dia di bahagian keramat lelaki tua tu. Biar dia tahu siapa Irish Adrina. Huh!

Dua orang kanak-kanak iaitu Syaza dan Afif tergamam dan sedikit pelik dengan apa yang terjadi di hadapan mereka. Ibu mereka yang sedari tadi menemani mereka dan turut menyaksikan kejadian itu mengambil tindakan dengan menutup mata kanak-kanak itu. Tidak mahu Syaza dan Afif meniru aksi yang dilakukan tadi. Sangat bahaya.

Ilham dan Dahlia pula sudah tergamam. Disusuli dengan gelak tawa yang besar. Dia tidak tahu pula yang Irish ni belajar seni mempertahankan diri. Betul-betul padu dia bagi lelaki tua ni tadi. Padan muka. Ilham menghampiri lelaki tua tak sedar diri itu.

“Lain kali jangan nak kacau isteri orang. Kan dah kena!” Ilham pantas meninggalkan lelaki tua itu dan mengikut langkah Irish dan meninggalkan Dahlia serta krew-krew yang lain. Semuanya tergamam melihat keberanian Irish. Masing-masing macam tidak percaya dengan apa yang dilihat oleh pandangan mata.

“Hai Puan Irish. Boleh kenal?” sapa Ilham yang sudah berada di sebelah Irish. Kedua belah tangan dimasukkan ke dalam kocek. Rambut disisir tepi. Persis gaya lelaki remaja yang ingin mengorat si anak dara.

Irish pula hanya memberikan jelingan tajam kepada Ilham. Ni mesti kes saja nak naikkan darah dia lah ni.

“Takkan dengan aku pun kau nak marah? Okay, aku minta maaf fasal kejadian hari tu,” Ilham kembali mengusik. Suka pula dia bila melihat Irish buat muka sebegitu rupa. Makin comel, kata hatinya. Irish yang geram dengan Ilham mula menghentikan langkah kakinya.

Irish menoleh.

“Awak ingat saya kisah dengan kenyaaan tu? Lagi satu, awak kalau tak nak rasa macam mana si tua tadi tu rasa, baik awak pergi,” kata Irish lalu berpaling untuk meneruskan langkahnya. Dah lah orang tengah geram, saja lagi nak tambahkan geram! 

“Aik, takkan dengan suami sendiri pun kena juga kot?” Ilham sudah tergelak. Makin besar gelaknya bila dilihatnya Irish menjeling tajam kepadanya. Dia mahu cuba menjernihkan kembali hubungannya dengan isterinya itu. 

Irish yang semakin geram, apa lagi terus saja mempercepatkan langkahnya. Tak kuasa dia nak layan Ilham. Buat geram lagi adalah.

Ilham yang melihat Irish semakin laju meninggalkannya tidak mahu rasa mengalah! Terus dia berusaha menyaingi langkah wanita itu. Apabila sudah semakin hampir, Ilham memegang bahu isterinya sebagai tanda untuk berhenti. Namun sayang seribu kali sayang, entah macam mana silapnya Ilham terlanggar seseorang dan membuatkannya hampir terjatuh ke hadapan. Tanpa dipinta dia terpegang punggung Irish. 

“Err, alamak,” desis hati Ilham.

Irish ternyata terkejut dengan tangan yang menyentuh punggungnya. Dia lantas berpaling dan mula mengeluarkan tindakan refleks. Kakinya dibuka dan tendangan keramatnya buat kali kedua kena tepat ke arah Ilham. Pembetulan, kena tepat ke arah kawasan keramat Ilham. Sama seperti Mr. Zaki Som tadi. Apalagi, menjerit bukan kepalanglah Ilham. Jatuh terduduk lelaki tu menahan sakit teramat perit.

“Argh!!!”

“Oops!”

Irish tersedar dari apa yang dilakukannya. Dia  kaget dengan kejadian yang berlaku itu. Tapi, dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Dia tidak berniat langsung hendak menyakiti Ilham, apatah lagi di hadapan orang ramai seperti ini. Lagipun, dah memang tu tindakan refleks jika ada yang menyentuh punggungnya sebegitu. Maka, dia pun terbukalah tendangan keramatnya. Ter okay! Bukan sengaja!

Mereka yang lalu lalang di kawasan itu mula mengerumuni Ilham yang baring dihurung malu. Masing-masing cuba untuk membantu Ilham bangun. Tidak kurang juga yang mengambil gambar Ilham dalam keadaan begitu. Melihatkan Ilham yang terkulat-kulat menggagahkan diri untuk bangun makin membuatkan Irish takut. Dia pasti Ilham akan buat sesuatu kepadanya selepas ni. Dia tidak mahu Ilham menarik tangannya dan membawanya ke kondominium mewah seperti dulu lagi. Jadi, apa yang perlu dia lakukan? Dia memandang kiri dan kanan. Hanya satu yang idea yang difikirkan. Lari!!



Irish tercungap-cungap. Nafasnya mendesah hebat. Segera dia menutup pintu pejabatnya. Siap kunci lagi tu. Gelabah punya fasal. Apa yang harus dia lakukan sekarang ialah bertenang. Tarik nafas, turun. Tarik lagi, hembus. Lega sikit rasa hatinya kini. Rasa bersalah, takut, simpati, dan sedikit kelakar bercampur baur dalam dirinya. Sememangnya dia tidak sengaja melakukan perkara itu. Pasti Ilham malu besar. Sah, lepas ni pasti keluar berita ini di dalam blog, Facebook dan semestinya di dada-dada akhbar. 

  Laju saja tangannya membuka laman Facebook di komputernya. Dibukanya  halaman Hiburan Kini di dalam Facebook, dan dia mencari-cari berita terbaru tentang Ilham Aizat yang baru saja berlaku tadi. Matanya terhenti pada satu tajuk.

“Ilham Terbaring Kesakitan Di Khalayak Ramai”

Irish terpana. Apa yang dibayangkannya menjadi nyata. Berita itu sudah keluar di dalam media. Lagi lah serba salah Irish rasa. Memang dia sudah jangka benda macam ni sekejap saja jadi sensasi. Macam mana ni? Nasib baik mukanya tidak ada di dalam gambar itu. Lega rasanya! Mesti orang yang mengambil gambar tu terlalu obses untuk fokus kepada Ilham sampai tak perasan Irish sudah jauh ke hadapan.

Bunyi ketukan pintu pejabatnya yang bertalu-talu membuatkan Irish lebih gelabah. Siapa tu? Takkan Ilham kot? Dalam fikiran Irish sudah membayangkan yang bukan-bukan. Sumpah, dia takut.

 “Irish, kenapa awak kunci pintu ni. Awak buat apa tu?” Puan Zulaikha mengetuk-ngetuk pintu pejabat Irish sambil memulas-mulas tombol pintu itu beberapa kali. Lega hati Irish buat sementara waktu. Ingatkan siapa lah tadi. 

“Eh, puan. Sorry. Saya tengah betulkan kain tadi, tu yang kunci pintu,” tersenyum-senyum Irish memberi alasan. Dalam banyak-banyak hal, kain yang difikirkannya. Bantai jer lah. Takut punya fasal.

 “Saya ingatkan apa lah tadi. Ni, saya nak tanya, macam mana dengan iklan tadi. Semua okay?” Soal Puan Zulaikha. Sebenarnya itu hajatnya bertandang ke bilik Irish. Untuk bertanyakan perihal pengambaran iklan tadi.

 “Semuanya terbaik puan. Tip top! Lepas ni mesti meletup iklan tu,” Irish berkata dengan penuh yakin. Menyembunyikan gundah di dalam hati.

 “Kamu balik seorang jer, Dahlia mana?” Pelik pula Puan Zulaikha bila melihat Dahlia tidak ada sama. Sepatutnya mereka berdua bersama-sama ada di sini.

“Dahlia kat sana lagi rasanya. Saya balik awal ni pun sebab nak semak design yang budak-budak freshie tu baru hantar. Kena lihat betul-betul ni puan,” tersengih-sengih Irish menjawab. Takkan dia nak bagi tahu Puan Zulaikha yang dia balik sebab menggelabah. Bahaya, bahaya!

 “Okaylah kalau macam tu. Sambung kerja awak,” Puan Zulaikha sudah berlalu pergi.

Lega hati Irish. Nampaknya bolehlah dia menenangkan dirinya sebentar dan kembali menyemak rekaan yang baru dihantar kepadanya tadi. Perasaan gelabah dibiarkan reda seketika. Kerja yang ada harus disiapkan secepatnya.




 Irish memberhentikan keretanya di hadapan rumah ibunya. Pelik betul dia melihat kasut Bonia yang terletak elok di depan pintu rumahnya ini.  Kelihatan juga kereta Audi RS 5 Cabriolet berwarna merah terparkir elok di ruang parkir rumahnya ini. Mungkin kereta baru abangnya. Irish bukan tidak tahu perangai abangnya Irsyad yang gemar bertukar kereta. Nasib baik abangnya tu suka tukar kereta saja, kalau suka tukar perempuan memang amat bahaya. Sudah pasti akan dibalun dengan kakak iparnya. Eh, kejap, nak kata  ni kasut abangnya pun, tidak juga. Abangnya tidak berapa suka dengan kasut yang rekaannya tajam ke depan seperti Aladdin ni.”

 “Hai sweetheart, baru balik,” sapa satu suara.

 Pantas Irish menoleh ke arah sofa di ruang tamu rumahnya itu. Terkejut bukan kepalang dia bila melihat Ilham duduk elok bersandar di situ sambil tersenyum-senyum melihatnya. Mindanya ligat memproses apa yang harus dilakukan. 

“Alamak, macam mana dia boleh ada di sini?”

Ideanya mula datang.

Lari! Yes! Lari! Irish mula berpaling ke pintu.

“Nak lari ke mana Puan Irish Adrina. Tak nak salam suami kau dulu ke? Atau kau nak main tendang-tendang lagi?” Ilham sudah mula mendekat. Satu persatu langkah itu menuju ke arahnya. Kini ini, Irish begitu gelabah kerana Ilham berhenti betul-betul di hadapannya.

“Atau kau takut aku buat apa-apa dekat kau?” Ilham bersuara romantis sambil mendekatkan wajahnya ke telinga Irish. Jarinya ligat bermain di pipi mulus itu. Desahan nafas Ilham yang berombak kuat kedengaran di telinga Irish. 

Irish semakin resah. Dia tersepit di antara Ilham dan dinding rumahnya. Apa yang perlu dia lakukan? Adakah kedatangan Ilham ke sini semata-mata kerana kejadian tengah hari tadi?


p/s: Assalamualaikum kawan-kawan. Maaf..Saya dapat update novel KAHWIN DENGAN ROOMMATE?! sampai BAB 18 sahaja..Setelah hampir 4 bulan saya post di blog. Terima kasih buat kawan-kawan yang sudi follow cerita ni dari mula. Saya mohon ampun dan maaf jika selama saya post novel ni banyak buat kawan-kawan tertunggu-tunggu, post bab pendek dan sebagainya...Sorry ya.. :)

Saya sedang menunggu jawapan dari pihak penerbitan. Semoga keputusannya baik..Nerves plak rasa..huhu..Tolong doakan novel ini berjaya diterbitkan ya..Amin.. In syaa Allah saya akan post novel baru di blog ni. Masih lagi dalam pembikinan..Wish me luck..Amin :)


23 comments:

Unknown said...

Hahaha.. ilham ni pn jgn la kasar sgt cer pikat irish tu btl2.. dear writer gud luck.. ♡

Unknown said...

Abby sha,.

hahaahaha.. kan..ntah apa2 Ilham tu.padan muka..thanks abby :)

ira amani said...

ooo..yeke..ok..saya akan tunggu kemunculan novel ni..apepn ilham tu romantik la ckt ye...hihi

kampung girl said...

saya memang follow blog ni sjak dri bab 1 lg..
best giler....
x sabar nk tnggu di bukukan..
sy msti beli la...
gud luck BALDU MERAH...

Anonymous said...

sesekali keluarkanlah teaser ye dik

Anonymous said...

Saya harap novel awak akan diterbitkan Amin.lepasni awak bagi teaser pulak

Unknown said...

Ira Imani..

hehe.. kannnnnn...kasar sgt Ilham ni..huhu..btw, thanks sudi baca :)

Unknown said...

Wanita Melayu..

Ya Allah!!!! Thanks sgt sudi follow novel ni dari bab awal..sgt terharu..thanks again..tlg doakan ya.. Amin :)

Unknown said...

Anonymous..

In syaa Allah akan cuba keluarkan teaser nnti..thanks sudi baca :)

Unknown said...

Anonymous..

Amin..thanks ya..In syaa Allah akan keluarkan teaser nnti.. :)

Meriam laksamana said...

ok best.. gud luck ye untuk penulis.. jgn lupe maklumkan kat fb kalau novel dah publish..

Unknown said...

Carl Laksamana..

Alhamdulillah..thanks sudi baca.. in syaa Allah :)

Unknown said...

X sabar nak tnggu novel nie kluar.. Jgn lupe update teaser ea.. Hehe

Unknown said...

Miezah Iris..

In syaa Allah..thanks ya.. :)

adawiahbaharin said...

saya fall in love dengn certa ni . bila ye boleh terbtkn buku ni ? hope sempt beli nnt . agakagak bulan 9 da publish belum ye akak ?

Unknown said...

Rabiatul Adawiah.

terima kasih sgt2 sbb support karya ni, sudi baca karya ni..terima kasih..tak tahu lagi..doakan agar segala urusan karya ni dipermudahkan ya..Amin :)

Unknown said...

Semoga bakal dtrbitkn .. xsbar nk tunggu dn bli hehe

Unknown said...

Cerita ni mmg best....x sabar rasanya nk tgu novel ni keluar.

Unknown said...

Nanti diterbitkan jngn lupa update😚

MarukoPinky said...

Novel ni dh diterbitkan ke belum?

Unknown said...

Love this novel..dah publish ke novel nie??..hope cpt publish tk sbar nk beli

Unknown said...

bila nk keluar? dh lama sgt tunggu novel nie 😫

olie said...

tak keluar lg ke novel nie.. mohon info ye...